NEWS SOURCES: Utusan Malaysia
DATE OF PUBLICATION: 29 January 2007
|
MELAKA 28 Jan 2007. – Hospital Pakar Putra (PSH) di sini mengesahkan tiada sebarang unsur ganjil pada ibu jari kaki kiri Siti Suhana Saadon, 23, yang didakwa mengeluarkan butiran kaca kristal baru-baru ini.Kesimpulan itu dibuat selepas pihak PSH membuat pemantauan ke atas gadis itu selama tiga hari sejak kelmarin, dan sepanjang tempoh tersebut tiada sebarang objek keluar daripada jari kakinya.Pakar bedah PSH, Datuk Dr. A. Senasi berkata, pihaknya menggunakan kaedah membalut ibu jari kaki kiri Siti Suhana selama tiga hari berturut-turut.
Namun, katanya, dalam tempoh itu, tiada butiran kaca atau kristal keluar daripada ibu jari kaki kiri gadis berkenaan. |
‘‘ Kami gagal menemui apa-apa hasil sepanjang tiga hari menjalankan pemeriksaan terhadap Siti Suhana.
“ Ujian imbasan sinar-X dan ujian darah dijalankan terhadap ibu jari kaki kiri Siti Suhana, tetapi tiada keganjilan yang dapat dilihat melalui kaedah itu,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Senasi menambah, pihaknya telah merancang untuk menjalankan pembedahan kecil pada ibu jari kaki kiri Siti Suhana di sini esok kerana diagnosis terakhir menunjukkan terdapat ketumbuhan pada ibu jari kakinya.
Bagaimanapun, katanya, pembedahan itu tidak dapat diteruskan kerana Siti Suhana dilaporkan keluar dari PSH bersama kakaknya kira-kira pukul 8 pagi ini.
“ Saya ada memberitahu Siti Suhana dan kakaknya mengenai pembedahan itu pada pukul 8.30 malam, semalam.
“ Pihak hospital tidak menyangka mereka berdua keluar dari hospital pagi ini,” ujarnya.
Pada 24 Januari lalu, akhbar-akhbar tempatan mendedahkan kisah gadis berusia 23 tahun dari Durian Tunggal di sini yang terpaksa menanggung derita kerana ibu jari kaki kirinya sentiasa mengeluarkan butiran seperti kaca dalam pelbagai bentuk dan warna.
Siti Suhana mendakwa kejadian pelik itu berlarutan sejak tiga bulan lalu iaitu selepas dia mengalami demam panas, Oktober lalu.
Dia memberitahu, setiap kaca yang keluar itu berbentuk seperti telur ikan dan ada pula sebesar biji guli serta berwarna-warni iaitu lutsinar, merah jambu dan hijau muda.
Menurutnya, kaca-kaca berkenaan akan keluar pada waktu tertentu tidak kira pada siang hari atau malam.



