Misteri Kristal


Bukan kaca atau kristal, tetapi mungkin bendalir badan

2007-02-05 Oleh: SA’ODAH ELIAS |

PETALING JAYA: Kaca, kristal atau adakah ia hasil bendalir di dalam badan sendiri? Segalanya mungkin terjawab sekiranya cadangan seorang pakar fizik tempatan untuk mengkaji objek lutsinar yang dilaporkan keluar dari celah kuku ibu jari kaki seorang gadis berjaya.

Seorang pengkaji perubatan Ibnu Sina atau perubatan Unani, Dr Mohd Hilmi Abdullah dari Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) adalah antara pengamal dan pengkaji perubatan alternatif yang yakin fenomena yang menimpa Siti Suhana Saadon itu boleh dijelaskan secara rasional.

Katanya, beliau sangat tertunggu-tunggu hasil kajian Prof Madya Dr Sidek Abdul Aziz dari Universiti Putra Malaysia yang dilaporkan akan melakukan kajian terhadap Siti Suhana pada 14 Feb ini kerana yakin ia akan membuktikan bahawa objek yang keluar daripada kaki gadis itu sebenarnya terbentuk daripada bendalir dalam badan gadis itu yang mengeras apabila bertindak balas dengan udara.

Beliau percaya tidak ada unsur misteri di dalam kejadian yang dialami gadis dari Melaka itu kerana ia pernah disebut di dalam salah satu buku perubatan tertua di dunia karangan Ibnu Sina.

Siti Suhana menunjukkan butiran kaca yang keluar dari ibu jari kakitanya baru-baru ini (foto BERNAMA)

Katanya, Ibnu Sina atau nama sebenarnya Hakim Abu Ali al-Husayn Abd Allah Ibn Sina yang lebih dikenali di Barat sebagai Avicenna, di dalam salah satu buku perubatannya yang sehingga kini masih menjadi rujukan penting dalam dunia perubatan, ada memberikan penjelasan terperinci mengenai simpton seperti yang dialami Siti Suhana.

Menurut Dr Mohd Hilmi, dalam bukunya yang bertajuk al-Qanun Fi al-Tibb (The Canon of Medicine), Ibnu Sina ada menjelaskan mengenai empat jenis bendalir di dalam tubuh manusia yang diistilahkannya sebagai akhlat atau humor — darah, kahak, hempedu kuning dan hempedu hitam.

Dalam kes Siti Suhana, katanya, simptom yang dialami gadis itu besar kemungkinan berkaitan dengan pengeluaran humor kahak yang terhasil menerusi pembakaran zat makanan di dalam hati yang terbahagi kepada dua jenis, iaitu humor kahak tabii dan bukan tabii seperti yang dijelaskan di dalam buku tulisan Ibnu Sina itu.

Menurutnya, Ibnu Sina menjelaskan bahawa humor kahak tabii adalah darah mentah, yang fungsinya ialah menyediakan nutrien bagi organ dalaman dan otak sementara humor bukan tabii pula terjadi apabila proses pembakaran zat makanan dalam hati terganggu menyebabkannya tidak hadam secara sempurna.

Katanya, antara humor kahak bukan tabii yang disebut di dalam buku berkenaan termasuk apa yang dinamakan humor kahak kekaca, iaitu sejenis humor yang menyerupai kaca cair.

Katanya, kaca atau kristal seperti yang dilaporkan keluar daripada kuku ibu jari Siti Suhana mungkin terhasil akibat jumlah humor kahak bukan tabii yang dihasilkan oleh badannya terlalu banyak menyebabkan ia keluar dari tubuh gadis itu dan menjadi keras apabila bertindak balas dengan udara.

Keadaan ini, katanya, boleh juga berlaku akibat beberapa jenis penyakit atau gaya hidup tertentu, terutama yang berkaitan dengan pemakanan, riadah, tidur dan amalan biasa dalam kehidupan seseorang itu.

Buku itu, katanya, menyebut bahawa antara penyakit yang menyumbang kepada penghasilan humor kahak bukan tabii ialah penyakit-penyakit yang berkaitan dengan kelemahan sistem penghadaman yang biasa disebut sebagai “sembelit”. Ini kerana apabila sistem penghadaman lemah, zat-zat makanan yang diambil tidak dapat diuraikan dan dihadamkan secara sempurna, lalu menyebabkan terbentuknya humor-humor yang mentah yang menjadi punca kepada terbentuknya humor kahak bukan tabii.
 
Selain itu, cirit-birit yang berlaku secara yang keterlaluan juga boleh menjadi punca kerana gejala tersebut akan menyebabkan sifat-sifat panas terkeluar dari tubuh badan, lalu menyebabkan tubuh badan menjadi sejuk secara relatifnya. Penyejukkan tubuh badan inilah yang sebenarnya menyumbang kepada pembentukan humor berkenaan..
 
Berkaitan gaya hidup pula, katanya, tabiat makan secara berlebih boleh menyumbang kepada masalah itu kerana zat-zat makanan yang wujud dalam jumlah yang terlalu banyak sukar dihadamkan secara sempurna. 
 
“Gemar mengambil makanan atau minuman yang sejuk, atau yang akan menghasilkan sifat sejuk di dalam tubuh juga boleh menyumbang kepada masalah tersebut. Ini termasuk pengambilan berlebihan sayuran mentah atau salad.Oleh itu, pengambilan makanan seperti ini hendaklah dalam jumlah yang berpatutan dan tidak terlalu banyak bagi mengelak terhasilnya humor kahak bukan tabii,” katanya.

Selain itu, kata Dr Mohd Hilmi, jarang melakukan senaman dan riadah juga boleh menyumbang kepada masalah itu kerana kekurangan pergerakan tubuh badan akan menyebabkan sifat panas semulajadi di dalam tubuh berada dalam keadaan terkurung, lalu menjadi tercekik.

“Kesannya, sifat sejuk akan menguasai tubuh badan dan risiko seseorang itu akan mengalami gejala penghasilan humor kahak bukan tabii di dalam tubuhnya adalah besar.
 
“Oleh itu, mereka yang mengalami penyakit yang menghadkan kebebasan bergerak di samping banyak menghabiskan masa di atas tilam mempunyai kemungkinan lebih besar untuk menghadapi gejala humor kahak berlebihan,” tambahnya. 
 
Katanya, Ibnu Sina juga ada menjelaskan bahawa humor-humor bukan tabii ini (yang dianggap sebagai lebihan tubuh badan) akan dikeluarkan dari tubuh badan antaranya melalui pembuangan air besar dan kecil, melalui rongga yang boleh dicerap seperti hidung dan telinga dan melalui rongga yang tidak boleh dicerap seperti liang kulit, dalam bentuk bisul atau bengkak atau keluar melalui sesuatu yang tumbuh dari tubuh badan seperti rambut dan kuku.

Gejala seperti yang dialami Siti Suhana, kata Dr Mohd Hilmi bukanlah sesuatu yang mustahil, kerana ia dimulai dengan bentuk bengkak yang dialaminya sebelum kemunculan objek berkenaan, tetapi ia sangat jarang berlaku.

Beliau juga yakin bahawa fenomena seperti yang menimpa Siti Suhana pernah dialami orang lain sebelum ini tetapi ia mungkin dianggap satu kejadian aneh atau perbuatan sihir lalu tidak merujukkannya kepada pakar perubatan.

Beliau menjelaskan bahawa Ibnu Sina di dalam kitabnya itu ada menyebut bahawa oleh kerana humor kahak bersifat sejuk, rawatan paling sesuai terhadap mereka yang mengalami simptom ini ialah dengan bersenam dan beriadah kerana kegiatan ini memanaskan badan dan seterusnya mencairkan humor kahak berkenaan bagi membolehkannya dikumuh keluar dari badan.

Ibnu Sina, katanya, juga menyatakan bahawa terdapat juga humor kahak tertentu yang bersifat toksin yang tidak boleh dikumuh badan melalui proses biasa, tetapi hanya melalui senaman.

Amalan mengambil makanan yang bersifat panas dan boleh mencairkan kahak seperti madu, halia, bawang putih, tongkat Ali, kacip Fatimah dan mengkunyit boleh membantu, katanya di samping beberapa amalan perubatan lain.

Katanya, gejala lain yang dialami mereka yang menghadapi masalah ini termasuk denyutan nadi yang kecil, lambat, dan berbeza-beza, air kencing putih atau kuning, kehijau-hijauan, atau hijau kekuning-kuningan, atau hijau muda, mengalami sendawa yang masam, pengenduran saraf, bersifat malas dan kurang berasa dahaga.

Semua gejala tersebut, menurut Dr Mohd Hilmi boleh terjadi akibat daripada sifat humor kahak yang sejuk dan kerana itulah maka Siti Suhana demam panas pada Oktober 2006 sebagai tindakbalas tubuh badan terhadap humor kahak kekaca yang berlebihan di dalam tubuhnya. 
  
Beliau yakin bahawa Siti Suhana dan keluarganya tidak berbohong mengenai apa yang menimpanya berikutan kegagalan pihak Hospital Pakar Putra (PSH) mengesan punca masalah kesihatannya setelah tiga hari menjalani rawatan minggu lalu, dan ketiadan objek yang keluar dari kukunya selama berada di hospital berkenaan.

Dr Mohd Hilmi berkata, kegagalan PSH mengesan masalah Siti Suhana mungkin kerana sebahagian besar humor kahak kekaca di dalam tubuhnya sudah pun keluar sebelum itu.

“Buktinya, antara butiran kaca terakhir yang keluar ialah dua butiran kaca sebesar guli, iaitu butiran yang terbesar berbanding butiran-butiran sebelumnya. Salah satu daripanya berwarna hijau yang merujuk kepada sifat sejuk yang menguasai tubuh Siti Suhana. Butiran yang berwarna merah jambu pula berlaku akibat percampuran humor kahak tersebut dengan pigmen merah di dalam darah,” jelasnya.

Katanya beliau tidak mempertikaikan kelayakan dan kepakaran Datuk Dr. A. Senasi yang merawat Siti Suhana di PSH, tetapi melahirkan rasa hairan mengapa pakar bedah tersebut memilih untuk membalut ibu jari kaki kiri gadis itu jika benar beliau mahu melihat butiran kaca keluar melalui ibu jari kaki tersebut.. 
  
Beliau juga melahirkan kesediaan untuk bertemu dengan keluarga Siti Suhana bagi menjelaskan hipotesisnya dengan lebih lanjut jika mereka berminat berbuat demikian.

Dr Mohd Hilmi juga meminta masyarakat saintis dan sarjana perubatan di negara ini agar lebih bersifat terubuka dalam menerima hipotesis yang dikemukakan berasaskan pengkajiannya terhadap penulisan Ibnu Sina itu dan tidak menganggapnya sesuatu yang lucu.

“Perubatan Ibnu Sina atau perubatan Unani mempunyai banyak perbezaan dengan perubatan moden, sama ada dari sudut teori, penggunaan ubat-ubatan, kaedah rawatan, pembuatan ubat-ubatan berbanding sistem perubatan moden.

“Tetapi ia masih lagi diamalkan secara meluas sehingga sekarang di beberapa bahagian di dunia khususnya di India dan Pakistan. Perubatan Ibnu Sina sekarang ini semakin berkembang pesat dan telah lama diiktiraf oleh kerajaan kedua-dua negara tersebut, malah turut diajar di universiti-universiti sehingga ke peringkat doktor falsafah.

“Bagaimanapun, masyarakat negara ini masih sangsi dan kurang faham tentang perkara ini,” jelasnya.

Arahan Mencetak: Pilih File dan seterusnya Print daripada Menu Browser anda.
— Informasi Artikel —
Artikel ini dicetakan dari http://mstar.com.my.
URL Artikel: http://mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_8ff774b7-c0a85062-f9d4f700-43e255bd