Misteri Kristal


Siti Suhana bimbang kristal keluar dari kakinya dicuri

MELAKA 1 Feb 2007 (Utusan Malaysia Online). – Siti Suhana Saadon, 23, kini bimbang puluhan butiran kaca kristal yang keluar dari ibu jari kaki kirinya mungkin akan hilang atau dicuri pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab.

Berikutan kebimbangan itu, abang Siti Suhana, Rahmat Saadon, 29, berkata, dia terpaksa menyimpan puluhan butiran kristal berkenaan di tempat lain yang dipercayai lebih selamat.

Katanya, tiada butiran kristal disimpan di rumahnya atas faktor-faktor keselamatan.

“Ibu dan adik saya pernah beritahu ramai orang cuba mengintip dan mengintai mereka dari luar rumah sewaktu ahli keluarga yang lain tidak berada di rumah.

“Ada juga pihak yang cuba meninjau kami dan perbuatan itu benar-benar menakutkan ibu dan adik saya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Rahmat, dia sekeluarga bagaimanapun tetap mengalu-alu kehadiran orang ramai ke rumah mereka bagi melawat Siti Suhana.

“Setakat ini, kami tidak pernah menghalau sesiapa, tetapi orang ramai tidak perlu mengintip atau mengintai kami dari dapur atau dari mana-mana sudut.

“Perbuatan seperti itu tidak wajar dan ia benar-benar mengganggu kehidupan peribadi kami sekeluarga,” ujarnya.

Kisah Siti Suhana mendapat liputan meluas akhbar apabila gadis itu mendakwa menanggung derita kerana ibu jari kaki kirinya sentiasa mengeluarkan butiran seperti kaca dalam pelbagai bentuk dan warna.

Gadis itu mendakwa kejadian pelik itu berlarutan sejak tiga bulan lalu iaitu selepas dia mengalami demam panas, Oktober lalu.

Dia memberitahu, setiap kaca yang keluar itu berbentuk seperti telur ikan dan ada di antaranya sebesar biji guli dan berwarna-warni iaitu lutsinar, merah jambu dan hijau muda.

Menurutnya, kaca-kaca berkenaan akan keluar pada waktu tertentu setiap hari tidak kira siang atau malam.